Cinta Pekasam

Walaupun tidak sesejuk ais di kutub, namun dingin jiwanya tetap membekukan. Walaupun tidak sepanas bahang di gurun, namun hangat jiwanya tetap mendidihkan. Itulah cetusan naluriku tika acapkali berdamping dengan Balqis, satu-satunya pelakon wanita dalam melodrama hidupku. Pada mata jemalaku, keperibadiannya cukup istimewa, pada mata hatiku pula, nuraninya terlalu intuisi.

Biarpun hidup dalam serba nista, namun pegangan hidupnya tetap teguh. Peranan sebagai anak sulung kepada lima orang adik-beradiknya dimainkan dengan cukup sempurna. Walaupun masih mempunyai bapa kandung, namun pada hakikatnya seolah-olah telah menjadi yatim piatu sebelum tiba masanya. Bapanya, Mazlan seolah-olah hilang pedoman dan pegangan hidup berikutan satu kejadian tragik lima tahun lalu. Semenjak itu, Mazlan seolah-olah hilang siuman dan kewarasannya.

Lima tahun yang lalu Balqis hidup dalam keadaan keluarga yang aman dan bahagia. Bukan sahaja tidak pernah wujud, malah tidak pernah terlintas dalam kamus hidup keluarga mereka istilah kedukaan. Hari demi hari berlalu bersulamkan gelak tawa mereka anak-beranak. Mazlan yang pada ketika itu memiliki sebuah kedai runcit di kampungnya merupakan seorang yang dihormati. Keperihatinannya kepada pelanggan sering menyentuh hati orang-orang disekelilingnya. Biarpun dengan keluarga yang agak besar, namun isterinya, Fatimah dapat menguruskannya dengan baik disirami kasih dan sayang yang utuh.

Di sekolah, Balqis merupakan seorang pelajar yang bijak dengan keputusan 8A dalam peperiksaan PMR nya yang lalu. Tahun depan, dia akan menduduki peperiksaan SPM dengan harapan akan dapat mengulangi kejayaannya yang cemerlang sekali lagi. Dia mengerti, sebagai anak sulung dia harus menjadi perintis kepada adik-adiknya untuk berjaya. Dia tahu seharusnya dia menebas lalang yang meninggi di hadapan mata, supaya adik-adiknya yang berada di belakang boleh menyusurinya. Mazlan dan Fatimah sentiasa memberikan dorongan yang jitu dengan harapan anak-anak lelakinya yang lain akan mengikut jejak langkah anak sulung perempuannya itu.

Namun, hidup ini tidak pernah surut dengan dugaan ilahi. Bak ombak di lautan, mana mungkin tenangnya sentiasa. Suatu hari, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantarnya anak bongsunya ke sekolah, Fatimah telah terlibat dalam satu kemalangan. Akibat kelalaian pengguna jalan raya yang lain, Fatimah yang sentiasa berwaspada juga telah menjadi mangsa nahas jalan raya. Sebuah kereta yang gagal dikawal telah merodok motosikal yang ditunggang Fatimah dari belakang. Dia yang tidak mampu mengendalikan motosikalnya telah terjatuh lalu diseret oleh kenderaan lain beberapa meter jauhnya. Keadaannya serius dan telah meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital. Mazlan seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan bahawa isterinya yang tersayang kini sudah tiada lagi. Dia mengalami trauma seawal kejadian. Apabila pulih, dia seolah-olah hilang semangat dan pegangan hidup. Tanggungjawabnya pada anak-anak mula terabai setelah perniagaannya terjejas. Hidupnya kini dibayangi halusinasi tanpa mampu membezakan antara fantasi dan realiti. Mulai dari saat itu, kebahagian dan keharmonian keluarga Balqis direncat. Dia telah mengambil tindakan drastik dengan berhenti sekolah bagi menggantikan peranan bapanya dalam mencari nafkah untuk keluarganya. Namun, Balqis tidak pernah menyalahkan ayahnya. Dia hanya mengangap seanteronya telah tertulis dalam kitab takdir ketentuan ilahi. Dia percaya bukan keinginan ayahnya sendiri untuk berkeadaan sebegitu rupa. Namun semuanya berlaku ke atas ayahnya dalam keadaan dia sendiri tidak sedar. Aku muncul dalam hidup Balqis hanya setelah dia hilang senyum dan tawanya.

Hukum alam sudah menetapkan, hidup ini biar miskin dengan harta, asalkan tak papa dengan adab dan sopan. Tapi nampaknya masih ramai yang hanya memandang, tapi tak sekalipun melihat. Semenjak mengenali Balqis, hubungan yang terjalin antara kami menjadi semakin erat hari demi hari. Kepadakulah dia melepaskan laranya dan aku tahu, aku hanya perlu mendengar tanpa berkata apa-apa. Selepas kejadian itu, hanya kebahagian adiknya yang menjadi penyangga hidupnya tanpa memikirkan bahagian dirinya.

Kini, hidup seharian Balqis dirundung melankolia. Bapanya yang kurang waras sering menjadikan Balqis sebagai mangsanya . Disepak, dipukul dan ditendang sudah menjadi asam garam hidupnya. Tidak cukup dengan itu, kata-kata nista orang kampung juga secara tidak sedar turut menambahkan beban yang dipikulnya.

Pujangga ada berkata, tangan yang halus dapat merasa sesuatu kekasapan, namun tangan yang kasar belum tentu dapat merasa sesuatu kelembutan. Atas dasar itulah kehalusan sifatnya tidak dapat dilihat penduduk kampungnya. Namun tentang hidupnya yang serba kekurangan, ditambahkan dengan sifat buruk bapanya, tanpa perlu disuruh…orang sekeliling akan berceloteh tentangnya dengan sendiri.

Kadang-kala aku tertawa sendirian memikirkan tentang kejadian suatu makhluk yang bernama manusia. Seanteronya mengakui diri sebagai manusia, namun hakikatnya kulihat tak ubah bak cakap tak serupa bikin. Rupa-rupanya, bezanya manusia dan binatang itu adalah pada kemanusiaanya, bukan pada kebinatangannya, kerana kebinatangan itu ada juga pada manusia, Cuma kemanusiaan itu yang tiada pada binatang. Melihat nasib yang menimpa Balqis telah membuka mindaku yang sudah sedia celik ini.

Aku kehairanan sendirian. Mengapakah manusia yang dilahirkan dan dibesarkan oleh manusia yang kemudiannya hidup dalam kelompok manusia masih tidak mengenali akan manusia sendiri. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Namun apakah jangka masa sedekad atau dua dekad itu masih tidak cukup untuk mengenali dan memahami makhluk sejenis dengannya? Memang benar, setiap kebaikan itu seharusnya dibalas dengan kebaikan. Namun, apakah sesuatu keburukan itu juga harus dibalas dengan keburukan? Mestikah Balqis juga menghamburkan kata-kata caci kepada orang-orang sekeliling yang menghinanya. Bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ya…aku tahu sungguh jerih
dugaan yang kau tanggung, Balqis. Namun , terimalah itu semua seadanya. Sesungguhnya, setiap halangan yang menimpa adalah tanda perhatian-Nya ke atas mu.

Alangkah baik andainya ada sebarang sesuatu yang mampu kulakukan untuk meringankan beban Balqis. Biarpun pada dirikulah tempatnya merintih hiba dan meluahkan perasaanya, namun sekadar menerima tanpa dapat memberikan apa-apa kembali menimbulkan rasa tidak puas hati jauh di dasar hatiku. Terlalu ingin bagiku mengungkapkan bicara-bicara manis agar dapat kulihat sunyum tawanya. Tapi apakan daya, mulutku kelu untuk bersuara, terkunci rapat tiap kali pandangan redup matanya menerjah menerusi mataku. Penderitaan yang tersirat dalam hidupnya jelas tersurat pada riak wajahnya.

Kini telah hampir satu dekad Balqis kukenali. Biarpun tiada pertalian darah walaupun cuma bau-bau bacang sekalipun, namun hubungan kami terlalu erat. Dia membesar di hadapan mataku dan perkembanganku juga berlaku di hadapan matanya. Perkembangannya kulihat sedikit demi sedikit.

Semenjak itu, dia berusaha keras dengan menggunakan tulang empat keratnya sendiri bagi mencari sesuap nasi untuk adik-adiknya. Ketekunannya sesungguhnya melahirkan cetusan rasa di sanubariku sedikit demi sedikit…simpati, sayang dan kini berubah menjadi cinta. Ya…aku telah jatuh cinta padamu, Balqis. Tapi ungkapan itu hanya tersirat di hatiku, tanpa mampu tersurat di mulutku. Kata orang, cinta yang lahir pada pandangan pertama adalah cinta suci manakala cinta yang lahir dari kemesraan persahatan adalah cinta sejati. Namun adalah sukar untuk menentukan yang mana satu adalah abadi. Tapi Balqis, percayalah tentang keabadian cintaku padamu, kerana cintaku padamu bukan saja suci, malah ia juga adalah sejati.

Melihatkan ketegasan Balqis ini telah menyebabkan aku jatuh cinta padanya sekali lagi. Kadang-kala terlintas di fikiranku untuk bertanya tentang perasaannya padaku namun aku khuatir. Aku khuatir tindakan aku itu akan merunsingkan fikirannya ditambah pula dengan masalah yang dihadapinya. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk menyimpankan sahaja perasaanku terhadap dirinya. Kata orang, mencari cinta itu adalah baik, namun cinta yang datang tanpa dicari adalah lebih baik. Jadi, aku berserah pada Yang Esa tentang segalanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang terbaik untuk hamba-Nya.

Kejadian pagi tadi cukup memeranjatkanku. Balqis jatuh pengsan ketika sedang membasuh pakaian di belakang rumah. Aku cuba mengambil tindakan namun tiada apa yang termampu. Mujurlah ketika itu Mak Esah, isteri penghulu kampung datang menjenguk mereka sekeluarga di rumah. Tanpa berfikir panjang, Balqis di bawa ke hospital oleh Mak Esah dan suaminya. Apa yang mampu kulakukan hanyalah menanti di rumah tanpa mengharapkan apa-apa berita yang tidak menyenangkan.

Sejak laporan perubatan tentang penyakit Balqis diperoleh semalam, isi rumah ini kelihatan suram, sesuram kaki langit di kala teja beraksi. Berita bahawa Balqis disyaki menghidap penyakit leukemia pada tahap kritikal cukup menghibakan setiap insan yang mengenalinya. Suara tangisan adik-adiknya tak pernah surut menerjah ke telinga. Manakan tidak, Balqislah satu-satunya tempat mereka bergantung selama ini. Selepas kematian ibu mereka, Balqislah ibu bagi mereka dan dia jugalah yang memainkan peranan bapa.

Kata orang, setiap yang terjadi itu ada hikmahnya yang tersurat dan tersirat. Hari ini, aku saksikan sendiri kesahihannya. Bapa Balqis, Mazlan kulihat mula bersifat rasional dan dapat menerima hakikat kehidupan yang dielakkannya selama ini. Penyesalan jelas tampak pada riak wajahnya.

Biarpun penyakit Balqis telah sampai ke tahap kritikal, tambahan pula kata doktor dia hanya dapat hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja, namun bapanya masih tidak berputus asa. Mazlan tahu bahawa Allah SWT sendiri tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum itu sendiri tidak mahu mengubahnya. Daripada tiga detik yang dimiliki dalam hidup ini, satu daripadanya telahpun berlalu. Satu daripadanya pula tidak diketahui sama ada akan dikecapi ataupun tidak. Maka satu-satunya cara yang patut dilakukan adalah dengan menghargai satu detik yang sedang dilalui. Atas dasar itulah Mazlan mengambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan anak-anaknya yang telah diabaikan selama ini. Dia percaya, di mana ada kemahuan di situlah ada jalannya. Sekiranya perubatan moden telah mengatakan noktah pada kehidupan anaknya, maka kaedah alternatif akan dicubanya. Perubatan tradisional juga mempunyai mistiknya yang tersendiri dalam proses penyembuhan. Namun dia sedar bahawa hukum alam telah menetapkan, setiap yang bermula itu pasti ada akhirnya.

Kata orang, dimana permulaanya adalah penting, namun di mana pengakhirannya itu adalah lebih penting. Seandainya riwayat Balqis termaktub dalam kitab takdir berakhir di sini, aku percaya, semua pihak telah banyak mempelajari tentang kehidupan ini. Balqis umpama dian yang telah membakar diri untuk menerangi insan-insan di sekelilingnya. Dalam sedar tak sedar, dirinya habis sedikit demi sedikit.

Hari ini genap seminggu Balqis dimasukkan ke hospital berikutan serangan penyakitnya. Mengikut perkiraan doktor, sudah tiba masanya epilog riwayat Balqis.Semua ahli keluarganya sedang berkumpul di unit rawatan rapi di mana Balqis ditempatkan.Semua berharap dapatmenemani insan kesayangan mereka itu sehingga ke hembuan nafasnya yang terakhir. Bagi manusia, usia 22 tahun adalah terlalu muda dan sepatutnya sedang menikmati setiap satu kebahaguaan yang wujud. Namun apa yang dimiliki Balqis pada usia ini hanyalah maut yang sedang menantinya. Berbeza dengan kehidupan seekor makhluk sepertiku, jangka hayatku sememangnya sekitar 10 tahun dan itulah usiaku kini. Balqis,seandainya kau pergi di kala ini, percayalah..aku jua pasti akan menyusurimu seketika nanti. Ketahuilah bahawa cintaku padamu adalah utuh, seutuh cinta Shah Jehan pada Mumtaz Mahalnya dan seteguh cinta Tun Teja pada Hang Tuah, biarpun cintaku,yang hanyalah seekor kucing…..hanyalah cinta pekasam.

maN-jea

1 Comment

  1. misz julz said,

    December 18, 2008 at 9:38 am

    indah bahasanya


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: